Tuesday, January 5, 2016

Mukadimah

Bismillahirrahmanirrahim..
(Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang..)
Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh..
(Semoga keselamatan, keberkahan, dan kasih sayang (rahmat) dari Allah SWT menyertai kalian..)

Semoga kalian yang digerakkan hatinya oleh Allah untuk sampai ke halaman ini sentiasa berada di dalam limpah kurniaNya, Insya Allah. Terhasilnya penulisan ini adalah untuk menyampaikan amanah yang telah diberi oleh Allah dalam menegakkan kembali kalimah Allah yang kian pudar dalam kalangan umat akhir zaman ini.

Dan di kalangan orang yang Kami ciptakan, ada umat yang memberi petunjuk dengan hak, dan dengan yang hak itu mereka menjalankan keadilan.
(Quran ; Surah Al-A'raf : ayat 181)

Dan bagaimanakah jika Kami mendatangkan seorang saksi daripada setiap umat dan Kami datangkan engkau sebagai saksi atas mereka.
(Quran ; Surah Al-Nisa' : ayat 41)

Kami tidak mengutus seorang Rasul pun melainkan dengan bahasa kaumnya, supaya dia dapat menjelaskan dengan terang kepada mereka. Maka Allah menyesatkan siapa yang Dia kehendaki, dan memberi petunjuk kepada siapa yang Dia kehendaki. Dan Dialah Tuhan yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
(Quran ; Surah Ibrahim : ayat 4)

Sesungguhnya Allah menyuruh menyerahkan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan apabila kamu menetapkan hukum di antara manusia, hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah sebaik-baik yang memberi pengajaran kepadamu. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.
(Quran ; Surah Al-Nisa' : ayat 58)

Diri ini hanyalah insan biasa, hamba Allah yang hina, yang diberi nikmat oleh Allah untuk mengenali Pencipta dengan sebenar-benarnya. Bagi sebilangan hamba Allah yang lain, makrifatullah (kenal Allah) adalah puncak terakhir nikmat yang diberi oleh Pencipta setelah melalui pelbagai proses pembelajaran mendekatkan diri kepada agama. Ada pula sebilangan hamba Allah yang lain, yang diberikan nikmat makrifatullah pada awal pendekatan diri sepenuhnya kepada Pencipta.


Diri termasuk dalam golongan yang kedua.

Makrifatullah mungkin terlalu luas skopnya untuk dikaji. Fahami konsep Takhalli, Tahalli, dan Tajalli, Insya Allah kalian akan mengerti. Allah berbicara dengan diri ini melalui kitab suci Al-Quran dan dikukuhkanNya kepercayaan diri ini melalui Tajalli, disingkapkan rahsia alam kepada diri. Sebelum ini, diri banyak mendiamkan diri. Tetapi Allah sentiasa mengingatkan supaya menyebarkan peringatan Allah melalui ayat-ayatNya. Dikatakan kepada Allah, diri tidak mampu. Allah menjawab, "Berilah peringatan, Aku akan permudahkan. Yang beriman akan mendapat ganjaran, yang engkar akan Kami seksa di akhirat kelak." Diri berkata lagi, diri bimbang orang tidak mahu mendengar. Allah menjawab, "Jika mereka menolak, itu bukan kerana kamu, tapi itu memang kerana mereka tidak takut akan ayat-ayatKu. Beri peringatan kepada orang yang takut akan ancamanKu."

Diri tidak pernah mengikuti apa-apa kelas tafsir atau makrifat, tidak pernah berguru dengan mana-mana guru, bukan dari keluarga yang alim, dan tidak memiliki kitab lain selain kitab Al-Quran. Segala bimbingan datang dari Allah. Al-Quran tidak dipengaruhi Syaitan. Mendengarkannya sahaja pun mereka akan menjauhi. Kuasa Syaitan adalah terbatas. Syaitan tiada kuasa untuk mengawal alam. Dan tiadalah kuasa Syaitan itu ke atas diri ini.

Diri ibarat menaiki pesawat untuk ke destinasi A dan hanya sekadar melintas sahaja negeri-negeri di bawah dari atas. Jika ditanya bagaimanakah keadaan keseluruhan negeri di bawah, insya Allah diri dapat menjawabnya. Tidaklah adil jika diri ditanya tentang bagaimanakah keadaan jalan-jalan bawah yang perlu dilalui untuk ke destinasi A. Banyak di antara kalian yang lebih arif daripada diri tentang perkara-perkara tersebut.

Pasti ada yang tertanya-tanya bagaimana Allah boleh berkomunikasi dengan diri ini melalui Al-Quran. Sesiapa sahaja boleh membaca Al-Quran dan tafsir, tapi pemahaman setiap orang sebenarnya berbeza-beza.

"Menurut Sufi, kemampuan seseorang dalam memahami makna Al-Quran amat bergantung kepada darjat dan kualiti kerohanian. Imam Ja’far as-Shadiq mengatakan bahawa Kitab Allah meliputi empat perkara: ibarat, isyarat, lathaif dan haqaiq.

  • Ibarat adalah bagi orang awam 
  • Isyarat adalah bagi orang khusus 
  • Lathaif adalah bagi para Wali Allah 
  • Haqaiq adalah bagi para Nabi." 

Diri membaca Al-Quran melalui Lathaif. Masyarakat kita tidak banyak didedahkan dengan golongan ini termasuk diri ini sendiri. Diri hanya mengetahui tentang perkara ini setelah Allah sendiri yang mengkhabarkan kepada diri.  Kerana itu, sengaja dirahsiakan identiti diri dan cukuplah Allah, para malaikat, dan orang-orang yang mempunyai ilmu ini sahaja yang menjadi saksi. Cukup Allah sebagai saksi.

Sekali lagi diingatkan, pengisian blog ini bukan sekadar dakwah biasa. Ini benar-benar dari Pencipta. Diri tidak mahu apa-apa dari kalian, cukuplah dengan kalian kembali rujuk, taat, beriman, dan bertaqwa kepada Allah.

"....Allah mengharamkan kamu bercakap tentang Allah apa yang kamu tidak tahu."
(Quran; Surah Al-Araf : ayat 33)

Demi Allah. 

0 comments:

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Free Samples By Mail